MIGHT Serah Pelan Tindakan Industri Biojisim Kepada Duta EU

Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) menyerahkan Pelan Tindakan Industri Biojisim Malaysia 2020 kepada Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Luc Vandebon, yang menandakan pelancaran pelan itu di sini Selasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Yusoff Sulaiman berkata pelan itu bermatlamat menyediakan pelan tindakan strategi yang kukuh dalam membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai peserta utama dalam memacu industri biojisim negara ke arah merealisasi produk bernilai tinggi daripada sumber biojisim negara.

Pelan tindakan itu adalah hasil aktiviti empat tahun MIGHT, yang dilaksanakan bersama Biomass-SP (Inisiatif Pengeluaran Lestari Biojisim Malaysia-Kesatuan Eropah), projek yang dibiayai program EU SWITCH-Asia, antara Mac 2010 dan Oktober 2013.

Ia juga mengetengahkan kedudukan Malaysia sebagai pusat utama serantau dalam dagangan, logistik, teknologi, kejuruteraan, perkakasan, pembangunan standard. pelaburan dan kewangan biojisim.

MIGHT syarikat yang ditubuhkan bukan berasaskan keuntungan, memain peranan penting dalam membangunkan perniagaan teknologi tinggi Malaysia.